Other Page :

Friday, November 18, 2011

Sabar dan Sakit


Barangsiapa ingin selamat daripada azab Allah, mendapatkan pahala dan rahmat-Nya dan masuk ke Syurga-Nya, hendaklah dia menahan nafsu daripada segala keinginan dunia, di samping sabar atas segala kesulitan dan musibahnya. Allah menyukai orang-orang yang sabar. Sabar mempunyai pelbagai macam. Sabar melaksanakan perintah-Nya (taat), sabar meninggalkan larangan-larangan-Nya serta sabar ketika mendapat bencana.

  • Sabar kerana taat : Allah memberi 300 darjat di Syurga. (tiap darjat berjarak antara langit dan bumi)
  • Sabar kerana meninggalkan larangan-Nya : Allah memberi 600 darjat. (tiap darjat berjarak antara langit dan bumi ke tujuh)
  • Sabar kerana bencana : Allah memberi 700 darjat di Syurga. (tiap darjat berjarak diantara Arasy dan Tsura)

Dirawikan daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda bersabda, “ Allah telah berkata:

“ Barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia memohon perlindungan daripada-Ku, pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. Dan barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Ku-tutup semua pintu langit baginya.”


WAJIB : kepada orang yang berakal dengan tidak ragu, tidak mengadu kepada makhluk dan redha atas bencana yang menimpa.

Kawan-kawan, sesungguhnya bencana yang paling pedih hanya menimpa para nabi dan para wali. Usahlah sedih memanjang sebaliknya kita mohon pada-Nya ya!

Junaid al-Baghdadi ra telah berkata, “ Bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukimin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorangpun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, redha dan sabar.”
Sabda Rasulullah SAW, 

“Barangsiapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit janganlah segera meminta sembuh.”

Menurut hadis nabi ini, jika kawan-kawan ditimpa sesuatu bala atau ujian maka bersabar, redha dan janganlah segera meminta sembuh serta tidak mengeluh. Sebaliknya kita bersabar,redha dan rela dengan ketentuan-Nya atas ujian dan dugaan  itu kerana dengan keperitan dan kesakitan yang kita rasai dapat menggugurkan dosa-dosa pada diri kita.

Salah seorang dari kawan saya pernah beritahu pada saya,” Sekiranya kita tidak didatangkan sesuatu ujian, maka seharusnya kita menoleh kebelakang untuk melihat dan mencari di mana kesilapan kita. Perjuangan yang tidak disertakan ujian bukanlah perjuangan sebenar-benarnya, pasti ada kesilapan!”

Al-kisah  ;

               Ada salah seorang lelaki fasik daripada Bani Israel. Orang sekampung tidak lagi dapat membendung kefasikannya. Mereka mengadu kepada Allah. Lalu Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa as bahawa diantara Bani Israel itu ada seorang pemuda fasik. Kemudian Musa mengusir pemuda itu dari kampung mereka. Sehingga mereka tidak terjilat api Neraka oleh kefasikannya. Maka pergilah pemuda itu ke suatu kampung. Kemudian Allah memerintahkan lagi agar Nabi Musa as mengusirnya. Maka dia mengusir pemuda itu.

Sehingga pemuda itu itu pergi ke suatu tempat yang tidak terdapat manusia, tumbuhan, binatang liar dan burung. Di situlah dia sakit dan tidak ada pula yang menolong. Dia jatuh ke tanah, kemudian dia meletakkan kepalanya sambil berkata, "Kalaulah kepalaku ini dibangku oleh ibuku, tentulah dia mengasihiku. Tentulah dia menangis meratapiku. Kalaulah ayahku ada di sini, pastilah dia akan menolong dan merawatku. Kalaulah isteriku ada di sini, tentulah akan menangisi kematianku. Jika anak-anakku ada, tentulah mereka akan tersedu-sedu mengiringi jenazahku, lalu mereka akan berdoa, "Ya Tuhan, ampunilah ayahku ini. Yang lemah, fasik, derhaka, yang terusir dari kota ke kampung dan dari kampung ke padang yang gersang. Yang keluar dari dunia ke akhirat tanpa harapan suatu pun. Ya Allah Engkau telah pisahkan aku dari orang tuaku, anank-anakku dan isteriku. Namun janganlah Engkau pisahkan aku daripada rahmat-Mu. Seseungguhnya Engkau telah membakar hatiku sebab berpisah dengan mereka. Namun janganlah Engkau bakar hati ini dengan Neraka-Mu kerana kemaksiatanku."

Kemudian Allah mengutuskan bidadari menjelma menyerupai ibunya. Dan bidadari lain menyerupai isterinya. Begitu ghilman (anak-anak Syurga) menjelma sebagai anak-anaknya. Serta mengutus Malaikat seolah-olah menjadi bapanya. Mereka duduk disisinya dan meratapinya. Lalu lelaki itu berkata, "Sesungguhnya ini ibu bapaku, isteriku dan anak-anakku telah hadir disisiku." Maka legalah hatinya sehingga pulang ke rahmatullah dengan suci terampun dosanya. Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa, "Pergilah ke suatu padang di sebuah tempat di sana. Di situ telah mati seorang wali. Maka hadir dan uruslah dia!" Ketika Musa as datang di tempat itu, beliau melihat pemuda yang diusirnya dari kota dan kampung dengan perintah Allah.

No comments:

Post a Comment